Tuesday, March 15, 2011

syarahanku yg disyg....hak3

IMAN DAN TAQWA PENCETUS UMMAH GEMILANG

    Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakim yang berdiri di atas gelombang keadilan, penjaga masa yang berpegang teguh dengan konsep Al-Asr, guru-guru serta rakan seperjuangan yang dikasihi sekalian. Tidak dilupa kepada hadirin walhadirat serta pemikir yang kritis lagi inovatif. Sesungguhnya anda semua tergolong dalam golongan orang-orang Islam, orang yang mendapat barokah, serta ahli-ahli syurga. Salam selamat diucapkan. Assalamualaikum wbt.
Tampilnya saya dipentas ini, di pagi yang indah nan ceria adalah untuk melakar wacana berpaksikan tajuk “Iman dan Taqwa Pencetus Ummah Gemilang”.

Sidang hadirin pemacu ummah yang khaira sekalian,
Sebelum hari hujan, sebelum kapal berlabuh, wajarlah bagi saya menampilkan terlebih dahulu intepretasi yang membina maudhuknya. Iman bermaksud percaya atau dari segi istilah pengakuan atau ikrar melalui lisan, membenarkan dengan hati, dan dibuktikan dengan amalan zahir. Definisi taqwa pula adalah mengawal diri daripada melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Seterusnya, frasa ummah gemilang saya definisikan sebagai sesebuah mayarakat yang cemerlang dari semua aspek kehidupan sama ada dari aspek emosi, rohani atau jasmaninya.

Hadirin walhadirat yang dimuliakan,
Apabila kita berbicara mengenai iman, lantas terlintas diminda tentang kalimah yang acap kali kita lafazkan iaitu kalimah syahadah.
“aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”

Secara fitrahnya manusia beriman kepada Allah. Sejak di alam roh kita telah mengaku bahawa tuhan yang mencipta kita ialah Allah. Setelah melafazkannya bermakna kita telah mengakui bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah swt. Allah ialah tempat untuk kita berlindung, tempat untuk bergantung harap serta tempat tumpuan ketaatan.
    Sehalus seindah kesucian taqwa, bagaikan setitis air zam-zam yang mengalir mengisi kerongkong para syuhada’. Bagaikan kuman sebesar zarah di hati manusia. Hanya Allah yang mengetahui kehadirannya agar dapat membezakan timbangan neraca al-mizan di akhirat kelak.
Firman Allah dalam surah Al-Qamar ayat 54 :
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ditempatkan dalam taman-taman syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai.
Sidang dewan yang dihormati sekalian,
Wacana fikrah yang pertama :
“Keiman dan Ketaqwaan yang Mantap Menjana Keperibadian Ummah”
Sesungguhnya pendekatan Islam Hadhari meletakkan kekuatan iman dan taqwa teras utama yang bakal memanculkan ummah bak pekerti dan negara yang berkualiti. Ummah yang memiliki keperibadiaan yang tinggi adalah asset utama negara untuk memacu negara di arena antarabangsa. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 96 :
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi . Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Allah akan menurunkan keberkatannya jikalau ketaqwaan kepada Allah menjadi agenda utama. Kita imbau kembali penderitaan penuh azab oleh Abi Huzaifah Al-Mungirah terhadap keluarga Yasir bin Amir. Lantaran mempertahankan kalimah tauhid, mereka dijemur di tengah terik mentari padang pasir, sang isteri Sumayyah binti Khabbat ditikam dengan tombak tajam sehingga gugur syahid. Maka terbanglah nyawa beliau yg beriman dan suci bersih dari raganya. Beliau adl wanita pertama yg mati syahid dalam Islam. Beliau gugur setelah memberikan contoh baik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan. Beliau telah mengerahkan segala apa yang beliau miliki dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya. Beliau telah mengorbankan nyawanya yang mahal dalam rangka meraih keredhaan Rabbnya.

Wacana fikrah yang kedua :
“Taat dan Cinta kepada Allah serta Rasul-Nya Pemangkin Kegemilangan Ummah”
Seorang hamba yang mengetahui bahwa kesempurnaan yang hakiki tiada lain kecuali milik Allah dan setiap yang tampak sempurna dari dirinya atau orang lain adalah dari dan kerana Allah, maka hal itu akan menuntut keinginan mentaati-Nya dan mencintai segala yang mendekatkan diri kepada-Nya.  Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 31 :
“Katakanlah : Jika memang kamu cinta kepada Allah, maka turutkanlah aku, niscaya cinta pula Allah kepada kamu dan akan siampuniNya dosa-dosa kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Penyayang.”
Ketahuilah, wahai yang dikasihi Allah, bahawa kecintaan hamba kepada Allah dan Rasul-Nya adalah ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Adapun kecintaan Allah kepada hamba-Nya adalah limpahan ampunan-Nya kepadanya.  Dalam usaha mencapai kegemilangan ummah, insan yang mempunyai peribadi yang mulia, pemimpin yang adil, peniaga yang jujur, taqwanya kepada Allah membentuk peribadi yang unggul yang sangat kita sanjungi sehingga kini iaitu Nabi Muhammad saw patut dijadikan role model yang terbaik dalam kehidupan kita.

Wacana fikrah yang ketiga :
“Menyembah hanya pada Maha Pencipta Tunggak Utama Kegemilangan Ummah”
Muhammad SAW diutus Allah dengan misi menyampaikan kalimat Tauhid, iaitu agar manusia menyembah Allah semata dan tidak menyembah sembahan lainnya selain Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Menunaikan solat lima waktu sehari semalam adalah cara untuk menyembah Allah yang Esa. Solat suatu perkara yang mudah dilaksanakan namun terlalu diambil mudah oleh masyarakat kini. Pengabaian solat lima waktu dalam kehidupan seharian adalah punca gejala sosial semakin berleluasa. Lantas lahirlah ummah yang rosak akhlaknya dengan budaya-budaya negatif. Masyarakat pada era globalisasi ini perlulah disedarkan dengan tujuan Allah mencipta manusia. Disebut dalam firman Allah dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Solat juga dapat membezakan antara orang Islam dan orang Kafir. Seperti sabda Nabi Muhammad saw :
“Yang membezkan antara orang Islam dan Kafir adalah solatnya”.
Selain itu, solat juga dapat mencegah kita daripada melakukan kemungkaran di muka bumi Allah ini dan seterusnya memelihara keimanan kita terhadap Maha Pencipta.

Wacana Fikrah yang terakhir:
“Mengharap kepada Rabbul Izzati mencetus Ummah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”.
Cabaran demi cabaran yang perlu kita tempuhi di era modenisasi ini memerlukan kita meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah swt. Allah bukannya tempat untuk kita mengadu domba semasa kita berada di dalam kesusahan. Malah tempat untuk kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan seperti kekayaan dan kesihatan agar kita tidak mudah bongkak dan takbur di bumi yang fana ini. Allah berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 23 yang bermaksud :
“Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman"
Kita imbau cabaran yang dilalui oleh Rasulullah saw ketika baginda menyebarkan agama suci Allah iaitu agama Islam, agama yang kita anuti sekarang. Baginda dihina, dibaling dengan sampah dan najis, musyrikin cuba untuk membunuh baginda. Namun, nabi Allah Muhammad kental menangkis segala cabaran dan sentiasa meminta kepada Allah sekalian alam agar diberikan petunjuk dalam menyebarkan syiar Islam. Wajarlah baginda menjadi contoh teladan bagi ummatnya untuk menjadi ummah yang berkualiti dan disegani.

    Konklusinya, keimanan dan ketaqwaan seseorang individu muslim yang sejati adalah tonggak utama dalam melahirkan ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bermula dengan keperibadian yang unggul dan aqidah yang mantap akan lahirlah sebuah ummah yang cemerlang dari aspek emosi, rohani dan jasmani.

Kapal berlabuh ditepian muara, ummah gemilang akhlak mulia.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Salam ummah berkualiti tonggak nega ra berwawasan.

===============================================================================

buat sume yg bce...sila tggl an komen anda. hehe. hrp komen itu dpt m'bntu

No comments:

Post a Comment